Wednesday, April 15, 2009

Kerusi 3

Isu berkaitan kerusi sebenarnya satu isu yang sangat menarik. Jika tidak, mana mungkin berita mengenai 10 kerusi yang tidak diduduki boleh menjadi berita hangat sedangkan pada masa yang sama, terdapat ratusan juta kerusi lain yang juga kosong. Yang bilangannya ratusan juta tidak ada siapa berminat untuk dijadikan bahan berita. Kalaupun ianya dijadikan bahan berita, mungkin hanya sebilangan kecil rakyat yang berminat untuk membacanya.

Peri pentingnya kerusi-kerusi yang hanya 10 ini sehingga Perdana Menteri Malaysia mengarahkan orang yang sepatutnya menduduki kerusi-kerusi ini kembali mendudukinya, tanpa berlengah-lengah. Bukankah sebagai seorang PM, dia mempunyai senarai tugas yang terlalu banyak lagi penting demi kemakmuran negara? Mengapa ehwal 10 kerusi yang hanya dikosongkan untuk satu (1) hari ini menarik perhatiannya? Namun, apa juga alasan yang diberikan oleh 10 orang yang terlibat dalam isu ini, kerusi yang 10 ini lantas diduduki keesokan harinya. Memang kerusi-kerusi yang sebegini sangat penting dan istimewa.

Mungkin keistimewaan kerusi-kerusi ini kerana ianya tidak boleh dijual beli. Mereka yang mahukan hak menduduki kerusi-kerusi ini memang berbelanja besar untuk mendapatkan hak mereka. Namun perbelanjaan besar itu bukanlah untuk membeli kerusi ini. Setelah memenangi hak menduduki kerusi-kerusi ini, mereka juga tidak boleh mejual kerusi mereka kepada orang lain. Sekiranya mereka melepaskan hak mereka, maka terbukalah kembali pertandingan untuk hak menduduki kerusi yang dikosongkan.

Mungkin kajian terperinci boleh dilakukan untuk mengenalpasti sebab-sebab mengapa begitu ramai orang berminat dengan kerusi-kerusi ini. Yang nyata, walau berapa besar perbelanjaan yang dikeluarkan, hak yang mereka menangi bukanlah untuk selamanya. Paling lama sekalipun sekadar lima (5) tahun sahaja. Dalam pada itu, tempoh 5 tahun ini juga mungkin dipendekkan oleh mereka yang berkuasa penuh ke atasnya, atas sebab-sebab yang dikira munasabah. Hak ke atas kerusi-kerusi ini juga tidak boleh diwariskan kepada sesiapa sekiranya pemegang hak yang memenanginya meninggal dunia. Jangankan diwariskan, kerusi-kerusi ini tidak boleh dibawa balik ke rumah sekalipun.

Isu kerusi dan perbelanjaan ini sangat wajar dibincangkan kerana kalau pun ada, tidak banyak kerusi lain yang memerlukan perbelanjaan sebegitu besar untuk dimiliki. Dalam masa yang sama tidak banyak jenis kerusi yang memerlukan seseorang berebut untuk mendapatkannya. Kalau ada pun mungkin kerana ianya dijual dengan harga yang jauh lebih rendah dari harga jualan biasa dan bukan kerana ianya  dijual dengan harga yang sangat tinggi. Atau mungkin saya yang tidak tahu akan adanya keadaan sebegini kerana tidak pernah mampunyai wang yang banyak yang boleh disalurkan semata-mata untuk membeli kerusi.

Bayangkan sahaja. Untuk mula mendapat hak bertanding memenangi kerusi-kerusi istimewa ini, seseorang perlu mengeluarkan wang sebanyak RM8,000 atau RM15,000 bergantung kepada di mana letaknya kerusi-kerusi yang mereka mahukan. Jumlah yang kecil sekiranya kerusi yang mereka mahukan terletak di ibu-ibu negeri dan jumlah yang besar untuk kerusi yang terletak di ibu negara. Jumlah wang yang sebegini banyak perlu dikeluarkan tanpa sebarang jaminan mereka akan mendapat hak ke atas kerusi yang mereka mahukan.

Bukan itu sahaja. Mereka juga dibenarkan membelanjakan masing-masing sehingga RM100,000 dan RM200,000 lagi sebagai perbelanjaan memberi tahu orang ramai bahawa mereka mahukan hak ke atas kerusi-kerusi istimewa ini. Sekadar itu sahajalah yang mereka dibenarkan berbelanja. Jumlah ini bukan semata-mata satu jumlah yang direka-reka mengikut sesuka hati sesiapa. Jumlah ini ditetapkan melalui peruntukan undang-undang tertentu  dan sekiranya undang-undang ini tidak dipatuhi, hak ke atas kerusi yang mereka menangi akan dimansuhkan.

RM108,000 dan RM215,000 untuk hak menduduki sebuah kerusi yang mereka tidak boleh bawa balik ke rumah pun. Kerusi yang mereka hanya boleh duduki pada masa-masa tertentu sahaja. Hak yang hanya boleh dipertahankan selama 5 tahun sahaja. Jumlah yang sebegini banyak pun sehingga perlu kepada peruntukan undang-undang bagi melaksanakan kawalan. Sekiranya tiada kawalan, kebanyakan mereka yang berminat dengan kerusi-kerusi ini sudah pasti akan berbelanja jauh lebih banyak.

Tidak pula dapat dipastikan dengan bukti namun mengikut khabar angin yang bertiup kencang, ramai di antara mereka yang sebenarnya berbelanja jauh lebih banyak. Jauh melebihi jumlah yang ditetapkan dan dibenarkan. Malah ada di antara mereka dikatakan membelanjakan sejumlah wang yang lebih banyak dari jumlah yang mereka sepatutnya ada. Sukar untuk dipercayai, bagaimana mungkin seseorang boleh berbelanja lebih dari yang mereka miliki. Namun demi kerusi istimewa ini, itulah yang dikatakan berlaku dengan meluas.

Yang nyata juga, lebih dari separuh mereka yang berebutkan hak ke atas kerusi-kerusi ini tidak berjaya mendapat apa yang mereka mahukan. Setelah berbelanja begitu besar, mereka tidak langsung mendapat peluang menduduki kerusi yang mereka idamkan. Perbelanjaan yang dikeluarkan sudah pasti hangus begitu sahaja. Kalau ada pun mereka hanya boleh menuntut kembali masing-masing sebanyak RM3,000 atau RM5,000. Itupun sekiranya mereka memenuhi syarat berhubung pembersihan bahan-bahan yang mereka gunakan untuk membantu mereka memenangi kerusi yang mereka idamkan.

Kalah atau menang, mereka sekadar menghantarkan lapuran kepada pihak berkuasa bahawa mereka berbelanja setakat yang dibenarkan dan tidak lebih walau satu sen pun. Kalah atau menang, kegagalan menghantarkan lapuran ini akan menyebabkan mereka hilang hak untuk mencuba di masa-masa akan datang. Kebanyakan mereka, tidak mengira umur atau jantina, tanpa mengenal erti kekalahan tidak mahu kehilangan hak untuk mencuba lagi di masa-masa akan datang.

Apa sebenarnya yang mendorong mereka-mereka ini? Adakah gelaran dan pangkat yang datang dengan kerusi-kerusi ini begitu bermakna sehingga ada yang dikatakan sanggup membunuh untuk kerusi-kerusi ini? Adakah kerana mereka beranggapan hanya mereka yang layak duduk di kerusi-kerusi ini? Adakah mereka tertarik dengan kemudahan-kemudahan dan faedah-faedah yang meraka boleh dapati dengan duduk di kerusi ini? Atau adakah mereka sekadar mahu berkhidmat dan menjalankan tanggungjawab yang memang datang bersama hak menduduki kerusi-kerusi istimewa ini?

Mungkinkah dengan meneliti tindak-tanduk mereka yang sudah mendapat hak menduduki kerusi-kerusi ini akan mempertemukan jawapan kepada soalan-soalan tersebut? Mungkinkah dengan mengkaji sebab musabab 10 dari mereka mengosongkan kerusi istimewa mereka untuk satu hari, akan muncul jawapannya? Mungkin juga jawapan yang dicari boleh ditemui dengan mengesan kerusi-kerusi mana yang diduduki oleh 204 dari mereka yang meninggalkan kerusi istimewa mereka pada lewat petang hari Khamis, 19 Mac 2009.

1 comment:

  1. kerusi emas mmg le patut sebukkan diri heheh... satu kerusi puluhan ribu... kerusi kecik2 siap pecat lagi..
    di minta jemput membincangkan konsep 1MALAYSIA gagasan Najib... link:
    http://bagindareformasi.blogspot.com/2009/04/konsep-1malaysia-gagasan-boneka-mader.html

    ReplyDelete