Sunday, August 16, 2009

Betul dan Salah 3

Yang benar tetap benar walau dipertikaikan.
Yang salah tetap salah walau diselindungkan.

Bolehkah dua baris lirik lagu nyanyian M. Nasir ini diterbalikkan dan sekiranya boleh, adakah maknanya akan turut terbalik? Adakah perbuatan menterbalikkan dua baris lirik ini akan mengubah maksud yang mahu disampaikan oleh penulisnya?

Yang salah tetap salah walau dipertikaikan.
Yang benar tetap benar walau diselindungkan.

Saya berpandangan memang dua baris lirik ini boleh diterbalikkan dan ia masih akan membawa erti yang sama. Mungkin apabila ianya diterbalikkan, maksudnya sudah sedikit berubah dari maksud yang ingin disampaikan oleh penulisnya. Mungkin juga tidak. Saya sendiri sebenarnya tidak tahu samaada maksudnya berubah atau tidak kerana saya tidak tahu apa sebenarnya maksud yang mahu disampaikan oleh penulisnya.

Walaubagaimanapun, mengikut apa yang saya faham dari dua baris lirik tersebut, makna asasnya masih sama samaada dalam keadaan asal atau setelah diterbalikkan.

Mengikut kefahaman saya, kebenaran tetap kebenaran, tanpa mengira samaada ianya dipersetujui, dipertikaikan mahupun diselindungkan. Kesalahan pula tetap kesalahan, tanpa mengira samaada ianya diketahui ramai, diselindungkan dari pandangan dan pengetahuan ramai mahupun apabila ianya dihebahkan sebagai kebenaran.

Ada yang berpendapat bahawa betul atau salah sesuatu perkara sangat bergantung kepada penilaian pandangan mata seseorang. Ada juga pandangan yang mengatakan penilaian betul dan salah itu adalah bernisbah, yang mana nisbahnya bergantung kepada kacamata yang melihat perkara yang dinilai. Ada yang berpandangan jauh berbeza dari saya dan menyatakan kemungkinan bahawa kebenaran mutlak sebenarnya tidak wujud atau tidak boleh wujud.

Saya sangat tidak bersetuju dengan pendapat bahawa kebenaran sesuatu perkara itu bernisbah mengikut pandangan mata yang melihat. Bagi saya, yang benar tetap benar walau dalam keadaan di mana tiada siapa yang bersetuju. Malah yang benar tetap benar walaupun tiada siapa yang tahu akan kebenaran tersebut.

Sebaliknya pula, yang salah tetap salah walau dalam keadaan di mana semua orang mengatakan ianya betul. Namun demikian saya boleh memahami mengapa ramai orang yang keliru dalam hal ehwal betul dan salah ini. Kekeliruan ini berlaku kerana dalam beberapa aspek, memang ada perkara betul yang dianggap salah dan ada pula perkara salah yang diterima sebagai betul.

Saya kemukakan analisa saya berhubung lapuran akhbar berkaitan 3 orang yang dilapurkan sebagai berkata, untuk menyokong pandangan saya.

Datuk Seri Tiong King Sing dilapurkan sebagai berkata bahawa beliau telah meminjamkan wang sejumlah RM 10 juta kepada Datuk Seri Ong Tee Keat.

Datuk Faisal Abdullah pula dilapurkan sebagai berkata bahawa jet milik syarikat yang beliau uruskan telah digunakan untuk perjalanan Datuk Seri Ong Tee Keat dan bayaran yang sepatutnya telah gagal dijelaskan.

Sebagai menjawab tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau, Datuk Seri Ong Tee Keat pula dilapurkan sebagai membuat penafian keras terhadap tuduhan Datuk Seri Tiong King Sing. Beliau juga dilapurkan sebagai berkata bahawa dia bukan tidak membayar pembiayaan perjalanan menggunakan jet berkenaan tetapi sekadar belum membuat bayaran.

Betul atau salah? Apa yang betul dan apa yang salah?

Melihat dari kenyataan-kenyataan tersebut, adalah mustahil ketiga-tiga watak di atas berkata benar, sebagai dilapurkan. Mana mungkin semua mereka berkata benar sedangkan kenyataan-kenyataan mereka bercanggah antara satu sama lain. Ada kemungkinan ketiga-tiga mereka tidak berkata benar. Ada kemungkinan dua di antara mereka tidak berkata benar dan ada juga kemungkinan hanya seorang di antara mereka yang tidak berkata benar.

Namun demikian ada juga kemungkinan, tidak ada satupun di antara mereka bertiga yang sebenarnya membuat kenyataan tidak benar dalam isu ini. Mungkin mereka tidak membuat sebarang kenyataan pun tetapi pihak akhbar yang membuat lapuran bahawa mereka bertiga telah berkata itu dan ini. Ada juga kemungkinan bahawa mereka bertiga memang ada membuat kenyataan berhubung isu ini tetapi kenyataan yang mereka keluarkan sebenarnya berlainan dari apa yang dilapurkan oleh akhbar.

Bagaimana pula dengan kemungkinan bahawa pihak akhbar membuat lapuran yang betul. Lapuran dibuat berdasarkan kepada kenyataan yang memang diungkapkan oleh mereka bertiga. Kenyataan yang bercanggah itu sebenarnya terhasil kerana mereka bertiga mengucapkan kenyataan-kenyataan mereka berdasarkan apa yang mereka tahu semasa mereka berada dihadapan wartawan yang bertanyakan soalan. Mungkin juga mereka berkata sebagaimana yang dilapurkan semata-mata berdasarkan apa yang mereka ingat pada masa itu.

Begitu banyak kemungkinan, namun mungkin masih ada lagi kemungkinan-kemungkinan lain yang tidak disebutkan. Saya katakan demikian kerana saya sesungguhnya tidak tahu. Saya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku dan besar kemungkinan saya memang tidak akan tahu apa yang sebenarnya berlaku. Pihak-pihak yang terlibat mungkin akan mengemukakan pelbagai jenis bukti untuk mengesahkan kebenaran pihak masing-masing.

Dengan bukti-bukti yang dikemukakan, saya mungkin akan mendapat keyakinan untuk menyatakan yang mana benar dan yang mana salah. Dengan keyakinan yang saya dapati, mungkin saya akan cuba meyakinkan pula orang-orang lain. Dengan keyakinan dan cara saya menyampaikan keyakinan saya, mungkin berjuta orang akan turut yakin dengan apa yang saya yakin. Dalam keadaan sedemikian sekalipun, belum tentu saya betul.

Mungkin kebenaran memang ada di antara kemungkinan-kemungkinan yang sudah tersenarai. Mungkin juga kebenaran masih terletak ditempat lain, di ruang lain yang saya langsung tidak nampak. Namun dalam kekeliruan disebalik segala kemungkinan yang ada, saya masih yakin bahawa kebenaran yang mutlak tetap ujud. Saya yakin akan adanya kebenaran yang mutlak walau dalam apa keadaan sekalipun kerana saya yakin akan KEUJUDAN YANG MAHA MENGETAHUI.

Saya boleh tersilap menilai maklumat yang saya terima. Saya mungkin menerima maklumat yang salah. Saya mungkin sengaja melakukan kesalahan untuk menjaga kepentingan diri saya sendiri atau kepentingan orang-orang yang saya sayangi. Saya mungkin tersilap kerana kelemahan saya sendiri. Mungkin kelemahan cara saya berfikir menyebabkan saya terpengaruh dengan fahaman-fahaman yang salah.

Saya mungkin salah dalam menerima malah mempertahankan sesebuah kebenaran. Saya mungkin betul kerana menerima dan mempertahan sesuatu yang dilihat salah oleh jutaan orang lain. Tidak pula mustahil saya salah.

Kemungkinan-kemungkinan yang berselirat ini memang boleh mengelirukan namun saya tetap tidak keliru akan ujudnya kebenaran mutlak. Walaupun ada orang mengatakan bahawa kebenaran akan akhirnya terserlah juga, namun saya tetap yakin akan keujudan kebenaran walaupun ianya tidak terserlah. Walaupun kelihatannya seperti yang salah akan menang dan yang benar akan kalah, saya tetap yakin bahawa sesungguhnya kebenaran akan menang juga akhirnya.

Kerana 'akhirnya' bukan kita yang punya. Kerana 'tahu' saya sebenarnya terlalu kecil. Terlalu banyak yang kita samasekali tidak tahu namun ternyata wujud. Saya yakin akan keujudan kebenaran mutlak kerana saya yakin akan KEUJUDAN yang MAHA MENGETAHUI yang MAHA BERKUASA ke atas segala yang benar mahupun yang salah.

6 comments:

  1. Kita pun patut berdoa supaya diTunjukkan yang benar sebagai benar dan yang salah sebagai salah; pun selalu meminta supaya diBeri kekuatan menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram.

    ReplyDelete
  2. Tidak kurang penting juga kita memohon diBERIkan keberanian untuk berlaku adil tentang yang betul dan salah.

    ReplyDelete
  3. SLM W.P..JIKA DUA BELAH PIHAK BERTEMPUR UTK MENEGAKKAN "KEBENARAN", DAN DI TAKDIRKAN SATU PIHAK MEMENANGINYA..ADAKAH PIHAK SATU LAGI BENAR2 DI PIHAK YG SALAH?

    ReplyDelete
  4. kena ambil masa nak faham ni. salam ziarah.

    ReplyDelete
  5. jln2 raya...perrggg pjn bangat nak baca..
    teruskn pjuangan..

    ReplyDelete