Perhatikan sekeliling kita. Saya boleh lihat terlalu banyak kekeliruan berhubung dengan ehwal betul dan salah ini. Ada yang melakukan kesalahan tanpa sedar bahawa apa yang dilakukan sebenarnya salah. Ada yang pada permulaannya tidak sedar bahawa mereka melakukan kesalahan. Mereka hanya sedar akan kesalahan mereka apabila menerima teguran.
Setelah menerima teguran ada yang mengakui kesalahan mereka lalu berhenti dari mengulangi kesalahan yang sama. Ada pula yang mengakui bahawa mereka memang melakukan kesalahan tetapi tidak pula mahu berhenti. Mereka terus mahu mengulangi kesalahan yang sama. Mereka mempertahankan bahawa mereka tidak ada pilihan dan perlu meneruskan perlakuan salah mereka demi mencapai kejayaan perjuangan mereka.
Tidak kurang juga bilangan mereka yang melakukan kesalahan secara berterusan walau setelah menyedari kesalahan mereka, hanya kerana ada pihak lain yang mereka lihat melakukan lebih banyak kesalahan. Mereka mempertahankan perlakuan mereka sebagai betul hanya kerana pihak lain melakukan kesalahan yang mereka anggap lebih besar. Mereka berpandangan kesalahan mereka luput hanya kerana ada pihak lain melakukan lebih banyak kesalahan atau melakukan kesalahan yang lebih besar.
Pemerhatian juga membuktikan ada sebilangan mereka yang menyokong perbuatan salah tanpa segan silu. Mereka menyatakan sokongan secara terang-terangan walaupun mereka sedar apa yang mereka sokong adalah pihak dan perkara yang salah. Hanya kerana mereka berkongsi matlamat perjuangan yang sama, sokongan diluahkan ke atas satu pihak tertentu, tanpa mengira betul atau salahnya tindakan pihak yang mereka sokong.
Mereka memberikan sokongan padu kepada satu pihak dan menyatakan sokongan kepada segala tindakan pihak yang mereka sokong. Mereka membangkang dan membantah dengan mengatakan pihak lain sentiasa salah, walau apapun yang dilakukan pihak lain tersebut. Mereka tidak langsung menilai sebelum menyatakan sokongan atau bantahan mereka. Bagi mereka, pihak yang mereka sokong tidak mungkin melakukan kesilapan dan kesalahan. Bagi mereka juga, apa juga yang datang dari pihak yang lagi satu sudah pasti tidak benar dan tidak betul.
Mereka juga menggunakan seluruh kemahiran dan kuasa minda mereka untuk menegakkan dan membenarkan pihak yang mereka sokong dan memburukkan serta menyalahkan pihak yang satu lagi. Minda yang mereka terima sebagai KURNIAAN YANG MAHA PENCIPTA tidak mereka gunakan untuk mencari kebenaran malah sebaliknya untuk menegakkan apa juga yang datang dari pihak yang mereka sokong, walaupun mereka sendiri dapat merasakan bagaimana basahnya cebisan benang yang berada di tangan mereka.
Ada pula di kalangan penyokong-penyokong ini yang menyalahkan pula pihak yang memberikan teguran ke atas kesalahan yang dilakukan. Yang memberikan teguran dipersalahkan kerana dikatakan hanya menegur pihak yang mereka sokong dan tidak memberikan teguran kepada pihak lain. Mereka berpandangan bahawa teguran hanya boleh diterima sekiranya teguran tersebut diarahkan kepada semua orang yang membuat kesalahan secara serentak. Ehwal yang betul dan salah sudah tidak penting lagi. Yang penting hanya cara teguran dibuat.
Juga tidak ketinggalan, ada orang atau sebilangan orang yang seronok berbuat kesalahan demi kesalahan. Tidak cukup dengan itu, mereka berbangga dengan kesalahan yang mereka lakukan. Mereka menghebahkan kesalahan yang mereka lakukan kepada khalayak ramai. Mereka berusaha meraih sokongan dari pihak lain dengan cara menghebahkan kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan.
Persekitaran kita juga dihuni oleh ramai orang yang keliru tentang ehwal kebenaran atau perkara betul yang berlaku. Banyak kebenaran yang berlaku namun diceritakan sebegitu rupa supaya ianya kelihatan seperti perkara salah. Perkara benar yang berlaku tetapi dipaparkan sebagai salah. Ada juga perkara yang sebenarnya telah berlaku tetapi dihebahkan sebagai tidak berlaku.
Banyak pula mereka yang percaya dan menerima sebagai kebenaran akan sesuatu perkara sekadar dengan membaca secebis tulisan yang mereka temui. Percaya dengan sepenuh hati walaupun perkara itu sememangnya tidak benar. Tanpa membuat sebarang kajian, tanpa mempertimbangkan punca berita, tanpa memikirkan secara waras terus percaya kepada sesuatu hasil tulisan yang mereka baca. Tidak cukup dengan itu, mereka menghebahkan pula berita tidak benar itu kepada rakan-rakan mereka dengan menyatakan bahawa berita tersebut adalah benar.
Memandangkan tahap kekeliruan yang berlaku, sesuatu wajar dilakukan. Kita semua wajar belajar semula akan asas-asas berhubung dengan ehwal betul dan salah. Ehwal berhubung kait dengan benar dan palsu. Bagi memulakan, saya berkongsi di sini dua baris lirik dari salah sebuah lagu yang dinyanyikan oleh M. Nasir. Lagu ini bermula dengan cerita seekor kupu-kupu yang berterbangan mencari madu. Dua baris lirik ini berbunyi:
Yang benar tetap benar walau dipertikaikan.
Yang salah tetap salah walau diselindungkan.
Sekurang-kurangnya, dari dua baris lirik tersebut kita boleh mengambil iktibar bahawa sesuatu yang dipertikaikan belum tentu salah dan sesuatu yang kita nampak sebagai betul sekalipun berkemungkinan kelihatan betul hanya kerana ianya digunakan untuk melindungi kesalahan-kesalahan yang dilakukan.
Kawan setuju amat dengan pendapat tuan, terlalu jauh sudah perjalanan pelaku yang kerjanya suka menyampaikan ketidakbenaran dan jelas, mengelirukan minda masyarakat yang kurang berilmu. Contoh : barusan satu ceramah PAS diadakan dikawasan kawan,penceramah undangan didatangkan dari Perak, dari apa yang didengar, boleh dikatakan 80% tidak benar dan fitnah, tetapi dapat tepukan dengan sambutan TAKBIR menyebut kebesaran Maha Kuasa.
ReplyDeleteApakah, setiap kali ucapan yang bersemangat dan berapi, walau pun tidak benar sudah menjadi ketagihan masyarakat untuk mendengarnya ? Setiap kali memulakan ceramah didahului memuji kebesaran Maha Kuasa, seterusnya penuh dengan umpat keji, caci nista insan lain...... inikah jalan mudah bagi yang terlalu inginkan kuasa untuk mendapatkan kuasa, walau pun meletakkan masayarakat dalam berpecah belah.........
Saya rasalah Tuan Wong Pencen, selagi kebenaran itu bernisbah, ia belum lagi kebenaran mutlak. Munkin saya salah pun.
ReplyDeleteSelagi seseorang itu melihat 'kebenaran' melalui kacamata orang lain, selagi itulah 'kebenaran' itu nisbah orang itu, masih berkemunkinan, nisbah orang lain belum lagi dinamakan 'kebenaran'.
Apabila 'orang itu' dan 'orang lain' ini melihat sesuatu melalui kacamata yang sama, maka pun setuju dan kata, 'Itu benar.' Maka berlakulah 'kebenaran' atau persetujuan antara mereka berdua.
Itupun 'kebenaran' yang masih bernisbah juga, sekali ini nisbah mereka berdua pula. Bagaimana pula jika ada dua orang lain melihat kepada 'kebenaran' tersebut melalui kacamata lain pula?
Maka berterusanlah begitu, lalu berlakulah seperti yang Tuan Wong Pencen huraikan di atas.
Jadi perkara ini tidak akan ada habisnya selagi ada manusia .. selagi manusia itu menisbahkan 'kebenaran' itu kepada dirinya sahaja.
Padahal, disana ada satu kebenaran yang sudah tidak 'bernisbah' lagi.
SLM TUAN RUMAH..DUNIA NI PERLUKAN 'CHEK & BALANCE'..TANPA NYE HIDUP MANUSIA AKAN BERCELARU. TUHAN MENCIPTA BURUK DAN BAIK..HIDUP & MATI..KAYA & MISKIN..BENAR & SALAH DAN SBGNYA..SEPERTI SDR DAL KATA..HIDUP PERLUKAN NISBAH. KITA TAK BLH HINDAR ATAU JAUHKAN DIRI KEBENARAN ATAU KEMUNGKARAN..SEMUANYA TERLETAK PD NIAT DAN TUJUAN MASING2..WALLAHUALAM
ReplyDeleteWaalaikumussalam Jeffry
ReplyDeleteSaya setuju dengan Jeffry bahawa dunia perlukan 'check and balance' bagi mangurangkan kecelaruan kehidupan manusia. Saya juga setuju dengan Jeffry bahawa ALLAH menciptakan segalanya. Bukan sahaja ALLAH menciptakan segalanya malah ALLAH memiliki segalanya.
Mengikut apa yang saya faham, Dal tidak menyatakan bahawa kehidupan perlu kepada nisbah tetapi kita hidup dalam nisbah dan selalu bertindak menurut nisbah kita dan nisbah orang di sekeliling kita.
Namun saya tidak bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan Jeffry seterusnya. Bagi saya adalah wajar ungkapan tersebut di perhaluskan supaya kita tidak mudah mengaku kalah dalam usaha menjalankan tanggungjawab menyediakan 'check and balance'.
Kita sebenarnya memang tidak boleh menghindarkan diri dari kesalahan namun kita boleh menjauhkan diri dari kemungkaran. Sebagai manusia kita memang akan tetap melakukan kesalahan walau bagaimana kita berusaha menghindarinya. Namun sekiranya kita mengaku bahawa kita tidak boleh menjauhkan diri dari kemungkaran, kita tidak akan berusaha.
Saya juga tidak setuju dengan Jeffry yang mengatakan semuanya terletak pada niat dan tujuan masing-masing. Terutama sebagai MUSLIM, kita hidup berlandaskan dan bersempadankan ajaran-ajaran ALQURAN dan SUNNAH.
Dalam ISLAM, matlamat, niat dan tujuan sahaja tidak cukup. Segala tindakan WAJIB dimulakan dengan niat yang baik disusuli dengan tindakan-tindakan yang selari dengan ajaran ALQURAN dan SUNNAH dan tidak melepasi sempadan-sempadan yang secara ringkas boleh dijelaskan dengan memahami apa jua yang WAJIB, SUNAT, HARUS, MAKRUH dan HARAM.
Sekiranya perhatian hanya diberikan kepada niat semata-mata, maka amat mudahlah kita melakukan kesilapan dan kesalahan yang akhirnya akan menjejaskan hasil perbuatan kita.
Contoh yang mudah untuk membantu memahami konsep niat dan perlaksanaan ini memang banyak. Antaranya, kita sebagai MUSLIM pasti tidak mahu makan bangkai walaupun kita lapar dan sekadar berniat menghilangkan rasa lapar atau mendapatkan tenaga supaya dapat menjalankan tanggungjawab seharian.
Sebagai MUSLIM, kita juga tidak akan singgah di kedai minum terdekat untuk menghilangkan dahaga sekiranya pada ketika itu kedai minum terdekat merupakan sebuah pub. Niatnya baik, menghilangkan dahaga, tetapi kita tidak minum beer untuk mencapai tujuan tersebut.
Secara mudah, kita boleh katakan walau sebaik manapun niatnya, perlaksanaan dengan cara yang bercanggah dengan ISLAM akan akhirnya lebih membawa mudharat dan terpesong dari niat asal.
Semoga kita sama-sama mendapat menafaat dari pertukaran maklumat ini.
Terima kasih.