Monday, March 30, 2009

Bersih dan Kotor

Antara yang bersih dan kotor, yang mana lebih kuat.

Sebelum memulakan perbincangan ini, ada baiknya kita perjelaskan dahulu perbezaan antara yang bersih dan kotor supaya tidak timbul kekeliruan. Saya berpandangan ini perlu kerana kebelakangan ini ramai seolah-oleh sudah tidak tahu atau tidak peduli lagi tentang apa yang betul dan salah. Memandangkan keadaan ini, besar kemungkinan ramai juga sudah tidak tahu atau tidak peduli lagi tentang apa yang bersih dan kotor.

Secara nyata apa yang najis itu pasti kotor. Tidak ada najis yang tidak kotor. Tidak ada najis yang bersih. Namun demikian bukan sahaja najis yang boleh dikategorikan sebagai kotor. Perkara yang bukan najis juga boleh jadi kotor.

Kata-kata. Perkataan. Ungkapan. Pastinya ia bukan najis. Pastinya ia tidak kotor sekiranya kita berbincang berkaitan kekotoran setanding najis. Perkataan sebenarnya hanyalah sekadar apa yang kita gunakan untuk membezakan antara satu perkara atau perbuatan dengan satu perkara atau perbuatan yang lain.

Walaubagaimanapun, cara penggunaan sesuatu perkataan boleh menjadikan atau membawa maksud yang kotor, walaupun kekotoran itu tidak setanding kekotoran najis. Dalam bahasa Melayu sebenarnya banyak perkataan yang sering digunakan untuk memaki, menghamun, mencarut dan merendahkan darjat sesuatu atau seseorang.

Untuk kali ini, kekotoran yang berkaitan kata-kata sebegini yang saya ingin ketengahkan.

Kembali kepada persoalan yang mana lebih kuat antara yang bersih dan yang kotor. Kita tahu bahawa yang bersih boleh membersihkan yang kotor sebagaimana yang kotor boleh mengotorkan yang bersih.  Sekiranya tahapnya sama, maka tidak boleh kita kenalpasti yang mana lebih kuat.

Sebiji gelas yang dipenuhi air bersih, dengan mudah boleh tercemar kebersihannya lalu menjadi kotor. Hanya dengan satu biji kecil tahi cicak terjatuh ke dalam gelas tersebut maka tercemarlah kebersihan keseluruhan air dalam gelas tersebut dan gelas itu sendiri. Kita sudah tentu tidak mahu lagi meminum air yang sudah tercemar itu. Bukan itu sahaja, kita pasti akan mencuci gelas tersebut supaya ia kembali bersih sebelum kita mahu menggunakannya semula, untuk minum air bersih lain yang dituang ke dalamnya.

Sebaliknya, bayangkan sebiji cawan yang dipenuhi tahi cicak. Tidak tahulah kita bagaimana cawan ini boleh dipenuhi dengan tahi cicak. Namun untuk tujuan perbincangan ini kita anggap sahaja cawan yang sedang kita ceritakan ini sudah di penuhi tahi cicak.

Titiskan setitik air bersih ke dalam cawan ini. Dapatkah air setitik ini membersihkan secawan tahi cicak?. Pasti tidak. Tuangkanlah pula setengah cawan air, menjadikan cawan tersebut dipenuhi separuh oleh air yang tadinya bersih dan separuh lagi tahi cicak yang sedia ada di dalam cawan tersebut. Separuh bahagian tahi cicak yang tadinya berada dalam cawan tersebut telah terkeluar dari cawan semasa air bersih dituang ke dalam cawan tersebut. Dapatkah air setengah cawan tersebut membersihkan cawan berisi tahi cicak tadi?. Pasti tidak.

Ambil lagi secawan air dan tuangkan ia ke dalam cawan yang berisi separuh air dan separuh tahi cicak tadi. Katakanlah dengan tuangan secawan air ini, keseluruhan tahi cicak yang tadinya berada di dalam cawan tersebut telah terkeluar semuanya. Cawan itu kini hanya dipenuhi oleh air. Tidak ada lagi tahi cicak di dalam cawan tersebut. Setakat ini kita sudah menggunakan satu titik, setengah cawan dan satu cawan air bersih dalam usaha membuang kekotoran tahi cicak dalam cawan tersebut. Adakah kita sudah berjaya membersihkannya? Pada pandangan saya tidak kerana saya sudah pasti tidak sanggup menggunakan air dalam cawan tersebut untuk membasuh kaki sekalipun apatah lagi meminumnya.

Untuk membersihkan cawan tersebut, kita perlu membuang semua tahi cicak yang ada di dalamnya terlebih dahulu. Kemudian kita gunakan span dan sabun untuk menggosok cawan tersebut. Sesudah itu, kita gunakan pula air bersih yang mengalir untuk membilas cawan tersebut. Selesai sahaja mencuci dengan begitu teliti, masih ada kemungkinan kita  belum mahu menggunakan cawan tersebut untuk minum. Sekiranya kita ada pilihan, kita akan menggunakan gelas atau cawan yang lain kerana, sekadar ingatan kita terhadap cawan yang dipenuhi tahi cicak tadi sudah cukup untuk menyebabkan tekak kita kembang.

Malah ada kemungkinan, sekiranya kita bertandang ke rumah rakan kita dan minuman dihidangkan menggunakan cawan yang mempunyai corak yang sama dengan cawan yang dipenuhi tahi cicak tadi, maka kesan kotoran tahi cicak yang kita pernah nampak masih boleh menyebabkan tekak kita kembang. Walhal, cawan yang berada di rumah kawan kita ini tiada kena mengena dengan tahi cicak. Cawan tersebut sekadar mempunyai bentuk dan corak yang sama dengan cawan yang kita ceritakan sebelumnya.

Jelas menunjukkan yang kotor itu lebih kuat dari yang bersih. Bersih yang banyak mudah dikotori dengan kekotoran yang sedikit. Sebaliknya, kekotoran yang banyak tidak dapat dibersihkan dengan bersih yang sedikit. Kita sentiasa memerlukan lebih kebersihan untuk membersihkan apa jua jenis kotoran. Selain itu, sebenarnya adalah jauh lebih mudah mengotorkan dari membersihkan. Membersihkan memerlukan usaha sedangkan mengotorkan dengan mudah boleh dilakukan walau tanpa usaha.

Dengan kesimpulan tersebut boleh juga kita simpulkan bahawa kita tidak boleh membersihkan apa juga pun dengan menggunakan peralatan atau cara yang kotor kerana alat dan cara yang kotor hanya akan mengotorkan dan tidak mungkin mampu membersihkan.

Kebelakangan ini kita sering melihat atau mungkin lebih tepat, membaca hasil tulisan yang banyak menggunakan perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan kesat, kotor dan lucah. Mereka yang menulis dengan cara sedemikian menyatakan, hanya cara itu sahaja yang layak digunakan bagi membetulkan orang, kumpulan orang atau perkara yang mereka anggap salah dan kotor.

Ada juga yang menggunakan kata-kata dan ungkapan kesat, kotor dan lucah ini kerana terikut-ikut dengan tulisan-tulisan yang dibacanya. Ada pula yang menyatakan mereka sekadar membalas kata-kata makian apa yang terlebih dahulu dilemparkan terhadap mereka. Walau apa pun alasan mereka, yang nyata mereka juga menggunakan kata-kata dan ungkapan yang kesat, kotor dan lucah.

Apa juga alasan mereka, berdasarkan kepada kesan perkara kotor kepada yang bersih, kata-kata dan ungkapan mereka tidak akan dapat membersihkan dan membetulkan apa juga yang kotor dan salah. Mereka sebenarnya hanya menambahkan kekotoran dan kesalahan dan menyebabkan kekotoran dan kesalahan lebih berleluasa. Jika kita sendiri tidak berbuat sesuatu untuk membetulkan keadaan ini, maka janganlah kita menyalahkan orang lain apabila satu hari nanti kita semua akan hidup bergelumang dengan kekotoran dan kesalahan.

Terlintasnya idea untuk saya menghasilkan tulisan ini adalah kerana pada suatu petang, semasa saya keluar dari kereta selepas meletakkan kereta berdekatan sebuah taman permainan kanak-kanak, saya terdengar seorang kanak-kanak yang saya kira belum sampai umur persekolahan mengherdik seorang rakan sepermainannya dengan mengatakan, "Engkau ni b ke b?". Tidak sanggup saya menuliskan apa perkataan sebenar yang digunakan, cukup sekadar menyatakan b yang pertama merujuk kepada nama binatang dan b yang kedua merujuk kepada sifat seseorang yang tidak pandai.

Mungkin kehidupan yang bergelumang kekotoran dan kesalahan ini bukan sesuatu yang akan berlaku tetapi sudahpun berlaku. Berlakunya ia di pelbagai peringkat dari permainan kanak-kanak di taman permainan sehingga permainan politik di Parlimen dan laman-laman blog.

Monday, March 23, 2009

Kerusi

Pada hari Ahad 22 Mar 2009, akhbar The Sunday Star melapurkan sesuatu yang sangat menarik berhubung dengan kerusi. Di bawah tajuk "Big bang ends with a whimper", akhbar tersebut melapurkan bagaimana Dewan Rakyat yang bersidang telah berjalan dengan perbincangan dan keputusan yang panas.

Dewan tersebut telah merakamkan pelbagai hujah dari kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang dalam membahaskan pelbagai isu. Suasana hangat berlangsung sehingga hari Khamis namun akhirnya dua kementrian terlepas dari sebarang persoalan kerana tiada seorang pun Ahli Parlimen yang bangun untuk membahaskan isu yang diketengahkan.

Lewat petang hari Khamis tersebut, Dewan Rakyat nyata sudah tidak cukup 'quorum'. Persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan pada jam 08.05 malam dan pada ketika itu hanya 18 orang Ahli Parlimen berada dalam dewan.

222 kerusi parlimen. 140 kerusi MP kerajaan. 82 kerusi MP pembangkang. Hanya 18 kerusi diduduki. 204 kerusi kosong dan keseluruhan rakyat Malaysia telah menyerahkan masa kini dan masa depan negara kepada mereka yang sepatutnya menduduki kerusi-kerusi kosong ini.

Mereka-mereka ini telah berhempas pulas bagi mendapat hak untuk duduk di atas kerusi-kerusi ini. Mereka berebut-rebut sehingga ada yang putus peesahabatan malah persaudaraan hanya untuk mendapatkan hak ke atas kerusi-kerusi ini. Ada yang bertengkar, bergaduh malah mengikut sejarah, ada yang membunuh dan dibunuh hanya kerana kerusi-kerusi ini. Kerusi-kerusi yang tinggal kosong pada waktu ia sepatutnya diduduki.

Mereka berkempen untuk mendapat hak menduduki kerusi-kerusi ini. Mereka bukan berkempen secara berseorangan. Mereka berkempen dengan jentera kempen masing-masing. Jentera kempen mereka melibatkan ratusan ribu orang. Jentera kempen mereka termasuk jentera-jentera yang tidak sepatutnya dikerah untuk turut berkempen.

Perbelanjaan kempen mereka melibatkan ratusan juta ringgit. Jumlah wang yang sangat besar sehingga ada pihak mendakwa sebuah parti politik utama negara masih belum membayar hutang sebahagian kos kempen pilihanraya tahun 2004. Perbelanjaan yang amat besar bagi memastikan kemenangan ke atas hak untuk duduk di atas kerusi-kerusi di Dewan Rakyat ini.

Keistimewaan kerusi-kerusi ini memang tidak boleh disangkal. Hanya dengan memenangi hak menduduki kerusi-kerusi ini, pemenang dengan serta merta menjadi orang Yang Berhormat. Tidak penting apa atau bagaimana kedudukan pemenang ini sebelum dia menang. Sebaik sahaja dia menang, dia terus menjadi Yang Berhormat. Kemenangan ke atas hak menduduki kerusi-kerusi ini memang datang dengan penghormatan sebegitu.

Walaubagaimanapun, hak yang mereka menangi semasa pilihanraya bukanlah hak yang mutlak. Hak ini mungkin dibatalkan dengan persetujuan majoriti antara mereka sendiri. Apabila ini berlaku, Ahli Parlimen yang dibatalkan hak akan meraung untuk menyatakan rasa tidak puas hati. Rakan-rakan yang lain juga akan bertempik dan meluahkan rasa tidak setuju. Sebaliknya mereka yang berada di pihak lagi satu akan meggendang meja bagi menghasilkan bunyi yang lebih kuat dan menandingi raungan dan tempikan kumpulan yang tidak bersetuju.

Sayangnya, setelah bersusah payah untuk memenangi kerusi-kerusi keramat ini, ramai antara mereka yang tidak mengendahkan kerusi mereka masing-masing. Ramai yang meninggalkan kerusi mereka pada waktu-waktu yang sepatutnya mereka berada di tempat kerusi mereka. Apa tidaknya, dari 222 kerusi, hanya 18 sahaja yang masih berisi?

Betul dan Salah

Hati saya sangat gundah dengan apa yang saya perhatikan sedang berlaku di kalangan orang Malaysia terutamanya dalam kalangan orang Melayu. Kebanyakan mereka kelihatah seperti sudah tidak peduli lagi akan apa yang betul dan salah.

Tidaklah menjadi apa-apa masaalah sekiranya kesan dari sikap tidak peduli ini menyebabkan mereka membuat lebih banyak perkara yang betul dari yang salah. Namun demikian sekiranya itu yang berlaku, tidaklah ianya sehingga mendatangkan perasaan gundah di hati saya.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Terlalu banyak kesalahan yang dilakukan. Kesalahan yang kecil dan besar dilakukan saban hari. Sekiranya kesalahan-kesalahan ini terjadi tanpa disengajakan, agak mudah untuk saya menerima kerana kita hanya manusia yang memang tidak pernah sunyi dari kesilapan.

Namun hakikatnya, kesalahan kecil dan besar ini dilakukan dengan sengaja dan bukan berlaku dengan tidak sengaja. Ramai di antara orang kita yang melakukan kesalahan demi kesalahan saban hari dengan sengaja tanpa menghiraukan kesan kesalahan yang mereka lakukan. Yang anehnya, mereka sebenarnya boleh melakukan sesuatu dengan betul tetapi memilih untuk melakukan kesalahan.

Mereka yang melakukan kesalahan yang saya maksudkan ini rata-rata tidak perlu berusaha lebih untuk berbuat yang betul. Mereka tidak perlu manggunakan masa yang lebih untuk membuat perkara yang betul. Mereka tidak memerlukan masa yang lebih untuk melakukan dengan betul. Mereka MEMILIH untuk melakukan kesalahan. Ini yang menambahkan rasa gundah di hati.

Mengapa begitu ramai antara kita yang memilih untuk melakukan kesalahan sedangkan melakukan yang betul tidak memerlukan usaha atau masa yang lebih. Mengapa begitu ramai yang seolah-olah seronok dan berbangga dengan kesalahan dan kesilapan yang mereka buat. Sebagai manusia, sekuat manapun usaha kita, kita tetap akan melakukan kesilapan dan kesilapan adalah sesuatu yang sepatutnya kita cuba hindari dengan bersungguh-sungguh, pada setiap masa.

Tanpa sengaja kita memang akan melakukan kesalahan dan kesilapan. Sebagai manusia yang sempurna, itulah sifat kita. Kita sepatutnya berusaha menghindarkan kesilapan dan kesalahan dalam melakukan sesuatu perkara. Kita sepatutnya berusaha mengelakkan kesilapan dan kesalahan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan. Usaha bersungguh-sungguh sekalipun tidak akan dapat menghindarkan atau melepaskan kita dari melakukan kesalahan sama-sekali. Akan ada juga kesalahan dan kesilapan yang boleh di kesan kerana itulah sifat kita, tidak boleh lari dari kesilapan.

Kecil atau besar bukan ukuran kepada perkara yang salah atau betul. Memang kita mengatakan kesalahan yang kecil boleh dimaafkan. Kesilapan yang kecil mudah diampunkan berbanding dengan kesilapan dan kesalahan yang besar. Walau demikian, penting juga diingatkan bahawa kecil dan besar bukan ukuran kepada perbuatan betul atau salah.

Sekecil manapun kesalahan yang dibuat, ianya tetap salah kerana yang salah memang tetap salah. Begitu juga, berbuat sesuatu yang betul tetap betul tanpa mengira berapa besar perkara atau pekerjaan itu kerana yang betul akan tetap betul. Ini bertepatan dengan sifat betul dan salah itu sendiri.

Perhatikan sekeliling kita dan cuba kenalpasti perlakuan dan perbuatan yang betul dan salah di sekeliling kita. Sekiranya kita masih peka, dengan mudah kita dapat melihat akan kesilapan dan kesalahan samaada yang besar atau yang kecil yang berlaku di sekeliling kita. Sekiranya kita sudah lupa bagaimana menilai dan membezakan antara sesuatu yang salah dan betul, maka kita tidak akan dapat mengasingkan perbuatan dan perlakuan yang betul dari yang salah.

Mungkin kerana itu ramai di antara kita sudah tidak peduli lagi samaada mereka melakukan yang betul atau salah. Mungkin kerana itu ramai pula yang kelihatan sengaja melakukan kesalahan. Mereka sebenarnya sudah tidak lagi tahu dan tidak dapat membezakan antara yang betul dan salah.

Penting atau tidak? Apa juga jawapannya, yang lebih penting bukan orang lain tetapi diri kita sendiri. Bila kali terakhir kita bertanya pada diri kita sendiri, adakah aku melakukan perkara yang betul?