Tidak ada apa yang aneh berkaitan kerusi kosong. Sebenarnya terlalu banyak kerusi yang kosong di dunia ini. Perhatikan di sekeliling kita, di mana-mana sahaja kita berada. Dalam kebanyakan masa kita akan nampak kerusi yang kosong dan tidak ada siapa yang duduk di atasnya.
Kadar antara bilangan kerusi dan bilangan orang yang ada tidak pula saya tahu. Tidak pula saya ingin mengkaji dengan mendalam, bagi setiap sebuah kerusi yang diduduki, berapa banyak kerusi lain yang kosong. Cukup pada saya sekiranya saya mengkaji menggunakan pemerhatian kasar sahaja.
Di rumah kita sahaja, sekurang-kurangnya ada dua buah kerusi untuk setiap ahli keluarga kita. Satu kerusi di ruang makan dan satu lagi kerusi sofa di ruang tamu rumah. Sekiranya kita tinggal di rumah yang agak besar, mungkin kadarnya tiga atau empat buah kerusi bagi setiap penghuni rumah. Dengan kadar yang sebegini memang mustahil akan ada satu-satu masa yang semua kerusi yang ada akan diduduki.
Semasa keseluruhan ahli keluarga kita berada di rumah, bukan sahaja kerusi-kerusi yang di rumah kita yang tidak penuh. Banyak lagi kerusi-kerusi lain yang memang diperuntukkan pada kita yang kita tinggalkan kosong. Bagi anak yang masih bersekolah, ada kerusi kosong di sekolah, yang hanya akan digunakan pada waktu persekolahan. Bagi kita yang bekerja di pejabat, sudah pasti ada sekurang-kurangnya sebuah kerusi kosong yang kita tinggalkan dipejabat.
Bagi seseorang yang bekerja di pejabat dan menjawat jawatan yang agak tinggi, biasanya ada pula kerusi pelawat. Bagi mereka yang sebegini, semasa dia di pejabat, dalam satu-satu masa dia akan hanya mampu duduk di salah satu kerusi yang diperuntukkan baginya. Walaupun badannya besar sekalipun, terlalu jarang, jika ada, orang yang memerlukan lebih dari sebuah kerusi untuk duduk.
Selain kerusi dalam pejabat seseorang pegawai, biasanya ada kerusi-kerusi lain yang hanya digunakan pada masa mesyuarat sahaja. Semasa kerusi-kerusi di bilik mesyuarat digunakan maka kosonglah kerusi dalam ruang kerja biasa, mereka yang sedang bermesyuarat. Di waktu tengahari, pekerja pejabat berpusu-pusu pula untuk memenuhkan kerusi-kerusi di kedai-kedai makan. Kosong pulalah semua atau hampir semua kerusi yang terdapat di keseluruhan ruang pejabat.
Selain rumah, pejabat, sekolah dan kedai makan masih banyak lagi tempat yang terdapat banyak kerusi. Pusat-pusat latihan biasanya menempatkan beratus-ratus buah kerusi. Hotel-hotel dari yang kecil kepada yang besar juga menempatkan ratusan malah ribuan buah kerusi. Tempat sebegini tidak mempunyai penghuni tetap dan kerusi-kerusi yang terdapat di tempat sebegini hanya akan digunakan oleh orang yang datang berkunjung. Harus pula diingat bagi setiap kerusi yang diduduki di tempat seperti ini, maka orang yang duduk itu pastinya telah meninggalkan beberapa buah kerusi kosong samaada di rumah, sekolah dan pejabat masing-masing.
Bagaimana dengan stadium. Walaupun kerusinya mungkin tidak sempurna dan hanya berupa bangku, ianya tetap tempat duduk yang boleh dikira sebagai kerusi juga. Ratusan ribu kerusi terdapat di stadium-stadium di Malaysia sahaja. Bila teringat bangku, teringat juga bangku-bangku yang terdapat di taman-taman tasik, taman bunga dan taman permainan kanak-kanak. Bangku-bangku ruang menunggu di stesyen bas, teksi dan keretapi. Ruang menunggu di bangunan-bangunan lapangan terbang, klinik dan hospital.
Ada pula masa-masa tertentu di mana seseorang itu langsung tidak menggunakan mana-mana kerusi yang diperuntukkan baginya. Ketika mandi dan tidur umpamanya, tidak satupun kerusi yang diperuntukkan baginya diduduki.
Tidak perlu kajian terperinci dibuat. Sudah terbukti dalam satu-satu masa, bagi setiap kerusi yang di duduki, terdapat sehingga 5 kerusi kosong. Bagi Malayisa yang mempunyai seramai 27 juta penduduk, pada satu-satu masa mungkin terdapat lebih 100 juta buah kerusi yang kosong.
Begitu banyaknya kerusi kosong, apalah istimewanya kerusi kosong di Dewan Rakyat. Dari 222 buah kerusi hanya 18 kerusi yang diduduki. Hanya terdapat 204 kerusi kosong. Apa benarlah nilai 204 kerusi kosong berbanding dengan kemungkinan ratusan juta buah kerusi kosong lain yang terdapat di seluruh Malaysia. Apa benarlah pentingnya sehingga saya menulis siri Kerusi ini.