Sekiranya anda gagal dalam percubaan pertama, cuba dan cuba lagi. Kejayaan adalah hasil kepada usaha yang berterusan. Istiqamah kunci kejayaan. Petua kejayaan ini memang sudah terbukti dalam bidang perniagaan di mana ramai peniaga berjaya menyatakan bahawa kejayaan mereka adalah hasil kerja yang istiqamah.
Kini petua kejayaan ini dibuktikan lagi kebenarannya. Kali ini bukan dalam bidang perniagaan tetapi dalam ehwal mendapatkan dan mendapatkan pengesahan kerakyatan Malaysia. Kejayaan mendapatkan kerakyatan Malaysia bukan sahaja bergantung kepada kelayakan sebagaimana termaktub dalam undang-undang tetapi yang lebih penting adalah istiqamah.
The Star Online, Jumaat 4 Disember 2009 melaporkan bagaimana seorang ibu telah berjuang bagi mendapatkan kerakyatan Malaysia untuk anak beliau. Bermula ketika anak tersebut berumur 5 tahun sehingga anak tersebut mencapai umur 17 tahun. Perjuangan dan usaha yang istiqamah memang akhirnya akan membuahkan hasil. Laporan yang sama juga menyebut seorang lagi ibu yang merasa lega kerana anak beliau yang kini berumur 11 tahun akhirnya berjaya mendapatkan sijil beranak.
Tidak ketinggalan juga satu pasangan yang bakal meraikan jubli emas ulangtahun perkahwinan mereka. Sebagaimana dilaporkan juga oleh NST Online , Khamis 3 Disember 2009, mereka akhirnya mendapatkan pengesahan sebagai rakyat Malaysia setelah menunggu 30 tahun dan setelah mengemukakan semula permohonan.
Yang paling menarik, berita kejayaan mereka dilaporkan sebagai sebahagian hasil campurtangan menteri berkenaan yang dikatakan memang berlainan dari ahli politik biasa. Kalau ahli politik biasanya hanya terkenal 'sekadar pandai menanam tebu di tepi bibir', menteri ini sangat berlainan. Dia benar-benar prihatin akan nasib rakyat Malaysia. Menteri ini benar-benar bertindak untuk menyelesaikan masaalah rakyat. Sekali pandang memang kita boleh berbangga dengan menteri yang satu ini.
Bayangkan, beliau berjaya menyelesaikan masaalah rakyat yang telah berlarutan selama 10, 15 malah 30 tahun. Bayangkan bagaimana leganya perasaan rakyat-rakyat ini yang telah menanggung masaalah mereka buat sekian lamanya. Bayangkan bertapa lapang hati-hati mereka dan yang lebih utama, bayangkan bagaimana mereka kini boleh hidup aman tanpa perlu risau lagi akan status kerakyatan mereka.
Dua atau tiga kali pandang, saya masih tidak dapat menjawab beberapa soalan.
1. Mengapa jabatan yang dipertanggungjawabkan untuk memproses permohonan kerakyatan mengambil sebegitu banyak masa untuk menjalankan tugas mereka? Mengapa mereka-mereka yang sememangnya layak diberikan pengesahan sebagai rakyat Malaysia ini terpaksa menunggu sehingga begitu lama untuk mendapatkan pengesahan? Adalah tidak munasabah proses pengesahan mengambil masa belasan malah puluhan tahun.
2. Adakah mereka-mereka ini baru sekarang sahaja memenuhi syarat layak menjadi rakyat Malaysia? Adakah permohonan mereka sebelum ini ditolak kerana mereka belum memenuhi syarat kelayakan pada masa tersebut? Adakah istiqamah juga merupakan sebahagian dari pertimbangan yang digunakan untuk mengukur kelayakan seseorang menjadi rakyat Malaysia?
3. Adakah status kerakyatan Malaysia ditentukan mengikut peruntukan undang-undang yang diluluskan dan diwartakan melalui proses di Parlimen atau seorang ahli parlimen yang dilantik menjadi menteri boleh menentukan status kerakyatan Malaysia? Sekiranya ia bergantung kepada peruntukan undang-undang, bagaimana satu permohonan yang sudah berbelas tahun hanya dapat diselesaikan setelah pemohonnya merayu kepada menteri berkenaan? Adakah bilangan titisan air mata yang dicurahkan di hadapan menteri menjadi ukuran tahap kelayakan seseorang untuk menjadi rakyat Malaysia? Kalau ini benar, selain air mara, apakah lagi benda-benda atau perkara-perkara lain yang meningkatkan nilai kerakyatan seseorang yang memohon kerakyatan Malaysia?
4. Mengapa episod ini dilaporkan sebagai kejayaan seorang menteri membantu menyelesaikan masaalah rakyat sedangkan sebenarnya ia menjelaskan kegagalan menteri tersebut dalam memastikan kecekapan jabatan di bawah kelolaannya? Apakah kemungkinan berlakunya lebih banyak lagi kelewatan tidak wajar yang sedang membebankan lebih ramai lagi dan apa pula kemungkinan sebahagian pemohon telah menunggu lebih lama dari 3 kes yang dilaporkan ini?
5. Secara kebetulan pula, dalam 3 kes yang dilaporkan ini, mereka yang terlibat mewakili 3 kaum utama rakyat Malaysia. Suatu kebetulan yang kebetulan menyebabkan timbulnya begitu banyak persoalan dan keraguan. Atau adakah episod ini suatu kebetulan yang secara kebetulan meyakinkan saya bahawa ianya merupakan sebahagian dari sekadar sebuah drama?
No comments:
Post a Comment