Perhatikan sekeliling kita. Saya boleh lihat terlalu banyak kekeliruan berhubung dengan ehwal betul dan salah ini. Ada yang melakukan kesalahan tanpa sedar bahawa apa yang dilakukan sebenarnya salah. Ada yang pada permulaannya tidak sedar bahawa mereka melakukan kesalahan. Mereka hanya sedar akan kesalahan mereka apabila menerima teguran.
Setelah menerima teguran ada yang mengakui kesalahan mereka lalu berhenti dari mengulangi kesalahan yang sama. Ada pula yang mengakui bahawa mereka memang melakukan kesalahan tetapi tidak pula mahu berhenti. Mereka terus mahu mengulangi kesalahan yang sama. Mereka mempertahankan bahawa mereka tidak ada pilihan dan perlu meneruskan perlakuan salah mereka demi mencapai kejayaan perjuangan mereka.
Tidak kurang juga bilangan mereka yang melakukan kesalahan secara berterusan walau setelah menyedari kesalahan mereka, hanya kerana ada pihak lain yang mereka lihat melakukan lebih banyak kesalahan. Mereka mempertahankan perlakuan mereka sebagai betul hanya kerana pihak lain melakukan kesalahan yang mereka anggap lebih besar. Mereka berpandangan kesalahan mereka luput hanya kerana ada pihak lain melakukan lebih banyak kesalahan atau melakukan kesalahan yang lebih besar.
Pemerhatian juga membuktikan ada sebilangan mereka yang menyokong perbuatan salah tanpa segan silu. Mereka menyatakan sokongan secara terang-terangan walaupun mereka sedar apa yang mereka sokong adalah pihak dan perkara yang salah. Hanya kerana mereka berkongsi matlamat perjuangan yang sama, sokongan diluahkan ke atas satu pihak tertentu, tanpa mengira betul atau salahnya tindakan pihak yang mereka sokong.
Mereka memberikan sokongan padu kepada satu pihak dan menyatakan sokongan kepada segala tindakan pihak yang mereka sokong. Mereka membangkang dan membantah dengan mengatakan pihak lain sentiasa salah, walau apapun yang dilakukan pihak lain tersebut. Mereka tidak langsung menilai sebelum menyatakan sokongan atau bantahan mereka. Bagi mereka, pihak yang mereka sokong tidak mungkin melakukan kesilapan dan kesalahan. Bagi mereka juga, apa juga yang datang dari pihak yang lagi satu sudah pasti tidak benar dan tidak betul.
Mereka juga menggunakan seluruh kemahiran dan kuasa minda mereka untuk menegakkan dan membenarkan pihak yang mereka sokong dan memburukkan serta menyalahkan pihak yang satu lagi. Minda yang mereka terima sebagai KURNIAAN YANG MAHA PENCIPTA tidak mereka gunakan untuk mencari kebenaran malah sebaliknya untuk menegakkan apa juga yang datang dari pihak yang mereka sokong, walaupun mereka sendiri dapat merasakan bagaimana basahnya cebisan benang yang berada di tangan mereka.
Ada pula di kalangan penyokong-penyokong ini yang menyalahkan pula pihak yang memberikan teguran ke atas kesalahan yang dilakukan. Yang memberikan teguran dipersalahkan kerana dikatakan hanya menegur pihak yang mereka sokong dan tidak memberikan teguran kepada pihak lain. Mereka berpandangan bahawa teguran hanya boleh diterima sekiranya teguran tersebut diarahkan kepada semua orang yang membuat kesalahan secara serentak. Ehwal yang betul dan salah sudah tidak penting lagi. Yang penting hanya cara teguran dibuat.
Juga tidak ketinggalan, ada orang atau sebilangan orang yang seronok berbuat kesalahan demi kesalahan. Tidak cukup dengan itu, mereka berbangga dengan kesalahan yang mereka lakukan. Mereka menghebahkan kesalahan yang mereka lakukan kepada khalayak ramai. Mereka berusaha meraih sokongan dari pihak lain dengan cara menghebahkan kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan.
Persekitaran kita juga dihuni oleh ramai orang yang keliru tentang ehwal kebenaran atau perkara betul yang berlaku. Banyak kebenaran yang berlaku namun diceritakan sebegitu rupa supaya ianya kelihatan seperti perkara salah. Perkara benar yang berlaku tetapi dipaparkan sebagai salah. Ada juga perkara yang sebenarnya telah berlaku tetapi dihebahkan sebagai tidak berlaku.
Banyak pula mereka yang percaya dan menerima sebagai kebenaran akan sesuatu perkara sekadar dengan membaca secebis tulisan yang mereka temui. Percaya dengan sepenuh hati walaupun perkara itu sememangnya tidak benar. Tanpa membuat sebarang kajian, tanpa mempertimbangkan punca berita, tanpa memikirkan secara waras terus percaya kepada sesuatu hasil tulisan yang mereka baca. Tidak cukup dengan itu, mereka menghebahkan pula berita tidak benar itu kepada rakan-rakan mereka dengan menyatakan bahawa berita tersebut adalah benar.
Memandangkan tahap kekeliruan yang berlaku, sesuatu wajar dilakukan. Kita semua wajar belajar semula akan asas-asas berhubung dengan ehwal betul dan salah. Ehwal berhubung kait dengan benar dan palsu. Bagi memulakan, saya berkongsi di sini dua baris lirik dari salah sebuah lagu yang dinyanyikan oleh M. Nasir. Lagu ini bermula dengan cerita seekor kupu-kupu yang berterbangan mencari madu. Dua baris lirik ini berbunyi:
Yang benar tetap benar walau dipertikaikan.
Yang salah tetap salah walau diselindungkan.
Sekurang-kurangnya, dari dua baris lirik tersebut kita boleh mengambil iktibar bahawa sesuatu yang dipertikaikan belum tentu salah dan sesuatu yang kita nampak sebagai betul sekalipun berkemungkinan kelihatan betul hanya kerana ianya digunakan untuk melindungi kesalahan-kesalahan yang dilakukan.