Kerajaan Negeri Selangor pada 25 November 2006 mengumumkan pemberhentian serta merta penyertaan pegawai agensi kerajaan negeri dan penuntut di institusi pendidikan milik kerajaan negeri dari menyertai kursus anjuran Biro Tata Negara (BTN).
Memandangkan saya sendiri tidak pernah menyertai sebarang kursus anjuran BTN dan setakat ini hanya mendengar cerita orang lain berhubung kursus-kursus anjuran BTN, saya tidak mahu mempertikaikan mahupun menyokong tindakan kerajaan negeri Selangor ini. Yang pastinya kerajaan negeri Selangor mempunyai sebab yang cukup besar untuk mengambil tindakan sedemikian.
Saya merasa terpanggil untuk menulis paparan ini setelah mendengar lapuran berita media arus perdana dan paparan-paparan beberapa laman blog yang berkaitan dengan tindakan kerajaan negeri ini. Terpanggil kerana sikap tidak bertanggungjawab dalam melapurkan dan membuat ulasan berhubung isu ini.
TV3 melalui Buliten Utama 25 November 2009 menyatakan bahawa kerajaan negeri Selangor mengHARAMkan penyertaan pegawai negeri dan penuntut institusi pengajian negeri Selangor dari penyertaan kursus kelolaan BTN. Pengelola laman blog Mesin Taip Buruk, Sahabat Gunung dan one2many juga masing-masing membuat paparan yang menyatakan Selangor mengHARAMkan penyertaan dalam kursus kelolaan BTN.
Bukankah Selangor sekadar 'memberhentikan penyertaan'. Dr Halimah yang membuat kenyataan bagi pihak Selangor tidak ada pun menyebut bahawa Selangor mengHARAMkan penyertaan tersebut. Saya berpandangan dengan menyatakan memberhentikan penyertaan ianya bermaksud 'tidak membenarkan penyertaan'.
Saya juga berpandangan ungkapan mengHARAMkan membawa maksud yang jauh lebih besar. Bagi MUSLIM, perkara yang HARAM itu sangat besar makna dan perbezaan dengan yang tidak dibenarkan oleh seorang atau sekumpulan manusia. Yang HARAM itu apabila dibuat mendatangkan DOSA. Yang HARAM juga bukan untuk kita sebagai manusia untuk menentukan. Ianya sudah ditentukan oleh yang MAHA AGUNG dan MAHA PENCIPTA. Bukan tahap kita menentukan apa yang HARAM. Kalaupun ada, keupayaan kita sekadar mengenalpasti apa yang HARAM melalui kajian serta kefahaman ayat-ayat suci AL-QURAN dan HADIS warisan RASULALLAH S.A.W.
Mengapa pula TV3 dan pengelola laman-laman blog tersebut di atas menggunakan ungkapan mengHARAMkan? Adakah untuk memperlihat dan membesar-besarkan apa yang mereka katakan sebagai kesalahan Selangor? Ataupun mereka-mereka ini merasakan diri mereka cukup besar untuk menentukan apa yang HARAM lalu membuat lapuran dan paparan sedemikian?
Apapun, adalah menjadi harapan saya bahawa tindakan mereka-mereka ini bukan kerana mereka tidak tahu membezakan apa yang HARAM. Sekiranya itulah sebabnya maka amatlah memalukan kerana adalah menjadi keWAJIBan kita sebagai MUSLIM untuk mengetahui apa yang HARAM.
Saya juga berharap mereka-mereka ini tidak sewenang-wenangnya mengHARAMkan apa yang tidak, semata-mata untuk mempamerkan sokongan kepada satu parti politik atau sesuatu kumpulan manusia yang tahapnya sudah pasti tidak setara dengan kesucian ISLAM.